MACAM MACAM ADA

Tuesday, February 15, 2011

Murid maut jatuh van


SUNGAI PETANI: Seorang murid tahun satu terbunuh selepas tercampak keluar daripada van sekolah dinaikinya apabila satu daripada pintu kenderaan berkenaan terbuka ketika melalui satu selekoh.
Siasatan awal polis mendapati van terbabit beroperasi secara haram manakala pemandunya, remaja berusia 16 tahun, tidak memiliki lesen memandu.
Kejadian berlaku kira-kira jam 7 pagi semalam di selekoh berhampiran lampu isyarat Kampung Raja, di sini, ketika mangsa, M Arvin, 7, dalam perjalanan dari rumahnya di Kampung Songkian, Jalan Kuala Ketil, dekat sini, ke Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil Mahajohti di Taman Sutera, tidak jauh dari rumahnya. Jurucakap Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda berkata, ketika kejadian, dua murid duduk di bahagian hadapan bersama pemandu manakala mangsa bersama dua murid lain di bangku belakang.
“Sebelum kejadian, mangsa bersama dua rakannya yang duduk di bahagian belakang dipercayai bermain dan seorang daripada mereka mungkin terbuka kunci pintu van.
“Sebaik tiba di selekoh berhampiran lampu isyarat Kampung Raja, pintu van terbabit terbuka dan mangsa yang berada di tepi pintu tercampak ke jalan raya,” katanya. Menurutnya, mangsa parah di kepala serta badan dan meninggal dunia di tempat kejadian. Mayatnya dibawa ke Jabatan Forensik, Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk bedah siasat. Jurucakap itu berkata, pemeriksaan awal polis terhadap van terbabit mendapati kenderaan itu beroperasi secara haram dan tidak mempunyai permit membawa murid sekolah. “Malah, pemandunya remaja berusia 16 tahun yang tidak memiliki lesen memandu,” katanya. Menurutnya, polis mengambil tindakan dengan mengeluarkan saman terhadap pemandu terbabit serta pemiliknya dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987. Sementara itu, nenek mangsa, G Letchumi, 58, berkata kematian cucunya itu mengulangi episod duka keluarga mereka kerana pada April tahun lalu, abang mangsa maut selepas terkena mercun. “Tahun lalu, abangnya meninggal dunia kerana terkena mercun. Belumpun hilang kesedihan kami, pagi tadi (semalam), adiknya pula meninggalkan kami,” katanya. Letchumi berkata, Arvin keluar dari rumah kira-kira jam 6.30 pagi untuk ke sekolah dan dia tidak menyangka panggilan diterimanya sejam kemudian memaklumkan cucunya itu meninggal dunia selepas terbabit kemalangan.
Dipetik dari Harian Metro 15/2/11

Hosni Mubarak jatuh sakit


SEBAHAGIAN kecil penunjuk perasaan Mesir masih berada di Dataran Tahrir di Kaherah semalam.


KAHERAH - Media Mesir mengeluarkan pelbagai laporan berhubung tahap kesihatan presiden Mesir yang disingkirkan, Hosni Mubarak, lapor sebuah akhbar semalam.

Kelmarin, sebuah akhbar Bahrain, Alwasat News menyatakan, Hosni kini tidak sedarkan diri. Sebuah lagi akhbar tempatan, Al Masry Al Youm pula melaporkan pemimpin tersebut tidak sedarkan diri sejak Sabtu lepas dan beliau berada di bawah penjagaan perubatan yang rapi.

Sebuah akhbar tempatan lain melaporkan Hosni jatuh sakit tetapi beliau enggan menerima rawatan perubatan.

Agensi berita rasmi Roee Nahmias semalam menafikan bekas presiden Mesir itu kini koma tetapi mengakui bahawa beliau jatuh sakit.

Bekas presiden berusia 82 tahun itu mengalami tekanan mental yang teruk dan menolak untuk dirawat walaupun beliau jatuh sakit, lapor sebuah lagi akhbar, Al-Gomhuria yang memetik beberapa sumber yang rapat dengan Hosni.

Menurut laporan tersebut, Hosni kini dipercayai berada di resort tepi pantai di Sharm el-Sheikh.

Dalam perkembangan berkaitan, Duta Mesir ke Amerika Syarikat (AS), Sameh Shoukry semalam tidak menolak bahawa kesihatan Hosni semakin terjejas ketika ditanya berhubung laporan media bahawa beliau mungkin diserang strok atau berada dalam keadaan koma.

"Saya mengikuti desas-desus dan laporan media tentang kesihatan beliau (Hosni) dan mendapat maklumat yang menunjukkan kesihatan beliau kini terjejas," kata Sameh dalam satu temu bual dengan program bual bicara Today Show terbitan NBC.

Bagaimanapun, duta berkenaan menegaskan: "Saya tidak mendapat maklumat mencukupi. Justeru saya tidak mahu membuat spekulasi tentang punca Hosni jatuh sakit."

Pada tahun lalu, Hosni berkunjung ke Jerman untuk menjalani pembedahan pundi hampedu.

Hosni meletak jawatan dan menyerahkan kuasa kepada tentera Mesir pada Jumaat lalu selepas 18 hari berdepan tunjuk perasaan anti-pemerintah.

Kepimpinan tentera yang baru telah membubarkan Parlimen dan menggantung perlembagaan negara kelmarin.

Sementara itu, pihak tentera yang memerintah negara itu selepas Hosni meletakkan jawatan meminta semua pekerja tidak melancarkan mogok dan protes di Dataran Tahrir.

Permintaan itu dianggap sebagai satu amaran sebelum pihak tentera melarang semua bentuk perhimpunan dan mogok.

Semalam, askar-askar membersihkan sampah sarap dan timbunan bangkai kereta serta khemah di Dataran Tahrir yang menjadi tempat para penunjuk perasaan berkampung sejak 25 Januari lalu bagi menuntut Hosni meletakkan jawatan. - Agensi


Dipetik dari KOSMO 15/2/11


Wednesday, February 9, 2011

Kanak-kanak berenang dekat beruang kutub

DUA kanak-kanak seolah-olah berada dekat dengan dua ekor beruang kutub di Habitat Beruang Kutub di Cochrane, Kanada baru-baru ini.
Daripada kOSMO 9/2/11


COCHRANE, Kanada - Kanak-kanak kini dapat berenang beberapa sentimeter dari beruang kutub di sebuah taman haiwan, lapor sebuah akhbar semalam.

Sebuah cermin lut sinar setebal 25.4 sentimeter didirikan di sebuah kolam renang yang membolehkan kanak-kanak berenang sambil melihat beruang gergasi itu.

Kemudahan itu disediakan di Habitat Beruang Kutub di sini sebagai salah satu cara untuk membangkitkan pengetahuan mengenai haiwan unik yang terdapat di dunia. - Agensi

Wednesday, February 2, 2011

Sejuta berhimpun tuntut Hosni undur


RATUSAN ribu penduduk berhimpun di Tahrir Square bagi menuntut peletakan jawatan Hosni Mubarak sebagai Presiden Mesir di Kaherah semalam.


KAHERAH - Sekurang-kurangnya satu juta penduduk berhimpun di serata Mesir semalam yang terdiri daripada pelajar, doktor dan penganggur dalam tunjuk perasaan paling besar bagi menuntut peletakan jawatan Presiden Hosni Mubarak.

Perhimpunan itu turut berlaku di bandar Iskandariah dan Suez.

Para penunjuk perasaan itu menolak janji pembaharuan yang dibuat oleh Hosni.

Ramai penunjuk perasaan itu melaungkan slogan revolusi dan selamat tinggal buat Hosni.

Tokoh pembangkang yang juga bekas Ketua Agensi Tenaga Atom Antarabangsa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Mohamed ElBaradei berkata, Hosni perlu meninggalkan Mesir sebelum pihak pembangkang memulakan rundingan dengan pemerintah mengenai masa depan negara berkenaan.

"Dialog boleh dilakukan tetapi ia akan hanya berlangsung selepas pemintaan daripada penduduk dipenuhi dan yang pertama daripada tuntutan itu ialah Presiden Hosni perlu meninggalkan (negara Mesir)," kata ElBaradei kepada stesen televisyen Al Arabiya.

Pada Isnin lalu, Hosni berjanji tidak akan melakukan kekerasan ke atas para penunjuk perasaan selepas para penentang menggesa sejuta orang berhimpun di Kaherah.

Ramai penunjuk perasaan mengibarkan bendera Mesir, termasuk sebuah bendera tertera perkataan yang meminta Hosni berundur bersama Zine El Abidine Ben Ali.

Zine El Abidine tersingkir sebagai Presiden Tunisia akibat perhimpunan rakyatnya pada bulan lalu.

Ahli-ahli jawatankuasa demonstrasi di bandar Iskandariah memeriksa kad-kad pengenalan para penyokong mereka bagi mengelak anggota-anggota polis cuba mensabotaj perarakan mereka dengan menyamar sebagai penunjuk perasaan dengan tujuan untuk mencetuskan kekacauan.

Di satu sudut kawasan pula, sekumpulan penunjuk perasaan membawa keranda Hosni dalam tindakan simbolik sambil melaungkan slogan: 'Hosni telah mati tanpa pengampunan Tuhan'.

Sementara itu, PBB menganggarkan sekurang-kurangnya 300 orang telah terbunuh dalam pertempuran dengan anggota-anggota polis sejak rakyat Mesir bermula pada 25 Januari lalu.

Mereka menuntut supaya Hosni berundur dan menggesa demokrasi dan peluang pekerjaan baru diwujudkan di Mesir selain rasuah dan pencabulan hak asasi manusia dihapuskan.

Seorang lelaki yang baru keluar dari hospital selepas satu tangannya putus dalam tunjuk perasaan pada Jumaat lepas menyertai semula protes antipemerintah di Iskandariah semalam.

Tangan lelaki berkenaan, Osama Maghazi terpaksa dipotong selepas jari jemarinya hancur terkena tembakan peluru senapang polis Mesir.

Osama yang bekerja di pelabuhan berkata, dia sedang melintas semasa bantahan diadakan pada Jumaat lalu dan terperangkap dalam rusuhan yang tercetus.

"Adalah menjadi hak rakyat untuk menentukan takdir mereka," kata Osama yang berusia dalam lingkungan 30-an.

Menurutnya, dia gembira kerana perbuatan polis mencederakan tangannya mencetuskan tunjuk perasaan besar-besaran pada Jumaat lepas.

"Orang ramai menuntut supaya Hosni disingkirkan, Orang ramai melaungkan slogan satu suara, satu tuntutan," jelas Osama.

Para penunjuk perasaan juga menegaskan bahawa tuntutan supaya Hosni menamatkan pemerintahannya selama 30 tahun adalah suara ramai dan bukan didorong oleh mana-mana parti politik.

Bagi menzahirkan realiti tersebut mereka menjerit kata-kata seperti tiada parti, tiada kumpulan dan ia merupakan revolusi pemuda Mesir.

Satu kain rentang besar yang tertera ayat: 'Kami (penunjuk perasaan) akan mati tetapi Mesir (negara) akan terus hidup.'

Hosni tidak disukai rakyat kerana pemerintahnya didakwa korup selain tiada perkembangan ekonomi dinikmati penduduk.

Ramai penduduk di Mesir miskin selain pemerintah melakukan penindasan politik terhadap para penentangnya. - Agensi


P/s macam mana la rakyat malaysia kat sana sekarang?


Satria GTI jadi sasaran pencuri

KUALA LUMPUR – Pemilik kereta Proton Satria GTI dinasihatkan lebih berhati-hati ketika meletakkan kenderaan masing- masing kerana siasatan polis mendapati kenderaan berkenaan kini menjadi sasaran utama penjenayah untuk dilarikan.

Difahamkan, selain mudah untuk dicuri, harga alat ganti yang melambung di pasaran dan kualiti sistem keselamatan yang rendah menjadikan penjenayah begitu rakus untuk melarikannya berbanding kereta import.

Pegawai Turus Cawangan Risikan Jenayah (D4) Kuala Lumpur, Deputi Supritendan Muhammad Ismail Muhammad Yusof berkata, sepanjang tahun lalu, polis menerima sebanyak 738 laporan kecurian kereta.

Katanya, daripada jumlah itu, hampir 70 peratus kenderaan yang hilang terdiri daripada kereta nasional termasuk 60 buah daripadanya adalah Proton Satria GTI.

“Siasatan mendapati, kereta-kereta itu dicuri kerana permintaan yang tinggi terhadap alat gantinya selain sistem keselamatan kereta tempatan yang rendah berbanding kereta import.



betul......kereta aku yang rosak pun curi gak. aku ingat nak jual dah kena rembat enjin dia... hu..hu..hu...

Tuesday, February 1, 2011

Harga petrol RON97 naik 10 sen seliter

hai.......naik lagi minyak nie....nasib RON97 jangan pas nie naik RON95 dah ler.....

KUALA LUMPUR - Harga petrol RON97 naik 10 sen menjadi RM2.50 seliter mulai tengah malam tadi, kata Timbalan Presiden Persatuan Penjual Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM), Datuk Zulkifli Mokti.

Beliau berkata, kenaikan itu berlaku akibat peningkatan harga minyak mentah kepada AS$105 setong minggu ini berbanding AS$100 sebelum ini.

"Penggunaan minyak mentah meningkat mendadak di Amerika Syarikat dan Eropah akibat cuaca sejuk melampau di sana sekali gus menimbulkan kebimbangan kekurangan minyak mentah," katanya ketika dihubungi Bernama malam ini.

Zulkifli berkata, harga minyak mentah dunia akan kembali turun sebaik musim panas tiba pada Jun ini dan harga petrol akan kembali stabil pada waktu itu.

Pada 4 Januari lepas, harga RON97, yang diapungkan mengikut pasaran minyak dunia semasa, naik 10 sen menjadikannya RM2.40 seliter. - Bernama

Wednesday, January 26, 2011

Jejak kedua UFO ditemui di Yogyakarta


BENTUK bulatan misteri yang ditemui di Dusun Wanujoyo, Yogyakarta semalam.

BENTUK bulatan misteri yang ditemui di Dusun Wanujoyo, Yogyakarta semalam.
YOGYAKARTA, Indonesia - Belum reda kekecohan mengenai bulatan tanaman yang dipercayai jejak objek terbang tidak dikenali (UFO) di Sleman, kelmarin, warga Yogyakarta kembali digemparkan dengan penemuan satu lagi bulatan misteri, lapor beberapa buah akhbar semalam.
Bulatan misteri kedua itu bercorak geometri yang baru itu ditemui di Dusun Wanujoyo Kidul, Desa Srimartani Kecamatan Piyungan, Kabupaten Bantul, Yogyakarta.
Ia terletak lima kilometer dari bentuk bulatan pertama yang ditemui di sawah padi di Sleman tetapi ukurannya pula lebih kecil.
"Saya sedang mencari rumput, saya lihat banyak padi yang landai dan membentuk bulatan," kata seorang pemuda Harjono, yang menemui corak bulatan misteri itu.
Ia dipercayai terbentuk lebih lima hari berdasarkan sebahagian padi yang rebah sudah mula tegak berdiri.
Lebih menghairankan, padi yang rebah itu juga tidak patah.
Menurut seorang penduduk tempatan Tukijo, 53, yang tinggal dalam jarak sekitar 100 meter dari tempat corak aneh itu ditemui, dia tidak mendengar bunyi suara atau melihat cahaya sebelum lingkaran itu ditemui.
"Tiada sebarang tanda-tanda ganjil sebelum bentuk bulatan itu ditemui," katanya.
Kawasan itu kini dipagari dengan garisan polis bagi mengelak dipijak oleh orang ramai yang berpusu-pusu tiba kerana mahu melihat fenomena tersebut.
Sementara itu, beribu-ribu orang membanjiri daerah Sleman semalam semata-mata untuk melihat sendiri bulatan misteri yang pertama.
Bulatan itu memiliki corak seperti bunga dengan luas sekitar 70 meter.
Ia kini menjadi tumpuan orang ramai sehingga polis terpaksa memagari kawasan itu dengan menggunakan pita berwarna kuning bagi menghalang bulatan itu dipijak oleh orang ramai.
BEBERAPA peniaga menjual lukisan bulatan misteri di Sleman, Yogyakarta semalam.
Beberapa penduduk kampung di Sleman pula mengambil kesempatan dengan mengenakan bayaran kepada orang luar yang datang untuk melihat bentuk misteri itu.
Ketua kampung Jogotirto tempat corak aneh itu ditemui, Guntur Purwanto berkata, bulatan itu muncul di tengah-tengah sawah bendang pada Ahad lalu.
Antara yang hadir semalam dan turut memberikan pendapat mengenai bentuk itu ialah beberapa pegawai dari agensi angkasa lepas Indonesia, ahli-ahli astronomi dan pegawai-pegawai agensi nuklear.
Kesemua mereka bagaimanapun, bersetuju bentuk misteri itu bukan disebabkan UFO. - Agensi
Dipetik dari Kosmo 25/1/11

Monday, January 24, 2011

Malaysia cantik tapi kotor

LABIS: Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen, berkata majoriti pelancong asing ke negara ini mengakui Malaysia sebuah negara yang cantik, namun mempunyai masalah dari segi kebersihan.

Beliau berkata, antara aspek kebersihan yang sering dibangkitkan pelawat membabitkan gerai makan, longkang dan tandas.
Bercakap kepada pemberita di sini, Yen Yen berkata aspek kebersihan itu akan kekal menjadi masalah jika rakyat negara ini tidak menjadikannya amalan kehidupan.
“Kementerian Pelancongan mengambil kira aduan yang ditimbulkan pelancong. Jadi, kita perlu mengambil kira aspek kebersihan ini,” katanya selepas melancarkan program ‘1Malaysia Green, 1Malaysia Clean’ peringkat daerah Segamat di Pusat Rekreasi Kolam Air Panas, semalam.

Mengenai pusat rekreasi itu, Yen Yen berkata, kajian untuk menambah baik kawasan berkenaan akan dilakukan bagi menarik perhatian pengunjung, terutama rakyat Singapura.

“Sebanyak RM2 juta diperuntukkan menerusi Rancangan Malaysia Kesembilan bagi menaik taraf kolam ini. Antara perkara yang akan dikaji adalah caj bayaran masuk dikenakan kepada pengunjung tempatan dan luar. Saya juga ada menerima cadangan supaya air panas di kolam ini dapat dialirkan," katanya.

Mengulas mengenai pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, Yen Yen yang juga Naib Presiden MCA berkata, parti itu akan menggunakan semangat ketika berkempen pada pilihan raya kecil DUN Galas bagi memastikan kemenangan Barisan Nasional.
"Kita akan menggerakkan semua jentera yang ada sepanjang tempoh berkempen. Kita gunakan semangat `Galas’," katanya.

Berdasarkan kunjungannya ke kawasan DUN Tenang semalam, beliau yakin pengundi kawasan itu tidak mudah terpedaya dengan isu negatif yang ditimbulkan pembangkang termasuk berkaitan kenaikan harga barangan.

“Kalau mengenai harga naik, itu adalah masalah global," katanya. – BERNAMA


dipetik dari Berita Harian Online 24/1/11

Sunday, January 23, 2011

Facebook punca cerai


LONDON: Laman sosial Internet, Facebook didakwa menjadi punca kepada peningkatan kes perceraian apabila semakin ramai suami atau isteri ditangkap berkelakuan curang dalam laman itu.

Seorang peguam memberitahu akhbar The Sun demikian mengenai bagaimana kes yang diuruskannya sejak sembilan bulan lalu membabitkan Facebook.

Menurutnya, pengguna yang sudah berkahwin terdedah untuk menipu pasangan mereka apabila berkenalan dengan pengguna lain dalam laman sosial itu.

Mesej berbau seks dan gambar kekasih baru selepas perceraian digunakan oleh bekas suami atau isteri dalam prosiding perceraian.


Kini, peguam menasihatkan pasangan yang bertelingkah supaya berhenti menggunakan Facebook dan laman lain seperfti Second Life, Illicit Encounters dan Friends Reunited sehingga prosiding perceraian masing-masing berakhir.


Emma Patel dari Syarikat Guaman Hart Scales & Hodges di Dorking, Surrey berkata, pihaknya menangani 30 kes perceraian sejak Mei lalu dan semuanya membabitkan Facebook.

Katanya: “Suami isteri yang curiga terhadap pasangan masing-masing menggunakan laman itu untuk mengintip dan mencari bukti kelakuan curang pasangan mereka.

“Penemuan bukti itu akan membawa kepada peceraian,” katanya.

Emma juga berkata, beliau sering memberi amaran kepada pasangan yang bertelingkah supaya mengelak daripada menggunakan laman itu selagi kes perceraian mereka belum berakhir. - The Sun

Dipetik dari myMetro 23/1/11

Buaya trauma setelah tertelan telefon bimbit


BUAYA Gena berendam dalam sebuah akuarium di bandar Dnipropetrovsk, Ukraine kelmarin.


KIEV, Ukraine - Seekor buaya berusia 14 tahun, Gena enggan makan sebarang makanan selepas ia menelan satu telefon bimbit milik seorang wanita yang terjatuh ke dalam kurungan haiwan itu di sebuah akuarium di bandar Dnipropetrovsk.

Pada mulanya, para pekerja akuarium itu tidak percaya dakwaan wanita tersebut yang berumur 20-an bahawa telefon bimbitnya ditelan buaya tersebut.

"Namun, apabila telefon itu berbunyi dan bunyinya datang dari dalam perut buaya tersebut, kami mengetahui dia (ibu tersebut) tidak berbohong," kata seorang pekerja di akuarium berkenaan, Alexandra.

Wanita berkenaan terjatuh telefon itu semasa dia mahu merakamkan aksi buaya tersebut sedang membuka mulutnya.

Ekoran tertelan telefon itu, buaya tersebut tidak makan selama empat minggu dan kelihatan murung dan sakit.

Alexandra berkata, kelakuan buaya jantan tersebut berubah selepas ia menelan telefon itu kerana ia kini bergerak amat perlahan dan kurang berenang berbanding sebelum ini.

Ketua doktor haiwan, Oleksandr Shushlenko berkata, jika buaya berkenaan masih enggan memakan sebarang makanan, haiwan itu akan menjalani pemeriksaan sinar X. - AP

Dipetik dari Kosmo online 23/1/11



Saturday, January 22, 2011

Dua bangkai makhluk misteri ditemui

SATU bangkai tanpa kepala yang ditemui di di pantai Shadmoor State Park, Montauk, Long Island, New York pada Ahad



NEW YORK - Dua bangkai makhluk ganjil dijumpai di pantai Shadmoor State Park, Montauk di Long Island dan Pelabuhan Three Mile, New York pada Ahad lalu, lapor akhbar The East Hampton Star semalam.

Seorang lelaki, Arthur Beckenstein menemui bangkai seperti seekor anjing yang besar, rusa atau anjing laut di tepi pantai Shadmoor State Park.

"Saya yakin terdapat penerangan logik tentang apakah binatang yang saya temui ini.

"Pada awalnya, saya ingat ia bangkai seekor anjing yang besar, rusa atau anjing laut. Ukuran tulang rusuknya ialah sepanjang 61 hingga 76.2 sentimeter. Bentuk tulang belakangnya kelihatan seperti buaya sedangkan tiada reptilia besar hidup di kawasan ini," katanya.

Menurut akhbar itu, penemuan itu menimbulkan persoalan sama ada ia merupakan makhluk asing atau hasil eksperimen pentadbiran Amerika Syarikat (AS).

Pada jarak sejauh 32 kilometer dari pantai itu, Eileen Murphy dan Jane Bimson terjumpa satu bangkai haiwan tanpa kepala yang mempunyai tulang rusuk serta ekor seperti ikan duyung.

Mereka kemudian merakamkan dua keping gambar dan menghantarnya ke Yayasan Penyelidikan dan Pemuliharaan Marin Riverhead.

Pakar biologi dari yayasan itu, Kim Durham menyatakan dia tidak dapat mengenal pasti makhluk tersebut dan memerlukan sampel asid deoksiribonukleik (DNA).

Namun, apabila mereka kembali ke lokasi sama pada keesokan harinya, bangkai itu telah hilang.

Kedua-dua bangkai itu ditemui tanpa kepala. - Agensi
Kosmo 22/1/11

Tuesday, January 18, 2011

UFO lawat Menara KL?

OBJEK terbang yang tidak dikenali atau UFO (dalam bulatan) dirakam di ruang udara Menara Kuala Lumpur pada Selasa lalu.


KUALA LUMPUR - Seorang penyelia kanan sebuah projek pembinaan di sini terkejut apabila mendakwa terlihat satu objek pelik yang dirakamnya melalui telefon bimbit melintasi ruang udara Menara Kuala Lumpur Selasa lalu.
Abdul Jalil Ibrahim, 50, berkata, pada kejadian pukul 7.46 pagi Selasa lalu, dia sedang merakam pemandangan awan dari tingkat 51 sebuah bangunan yang sedang dibina di sebelah sebuah hotel di Jalan Ampang di sini menggunakan telefon bimbit milik kawannya.
"Pada mulanya saya tidak menyedari ada objek pelik seakan-akan UFO (Objek Terbang Yang Tidak Dikenali) di dalam rakaman ini tetapi selepas empat hari, rakan setugas saya beritahu ada benda pelik pada gambar yang saya rakam dengan telefon bimbitnya.
"Apabila diteliti, saya terkejut melihat sebuah objek pelik berbentuk piring dan bujur berwarna hitam di ruang udara Menara KL," ceritanya lagi ketika ditemui Kosmo! semalam.
Bagaimanapun Abdul Jalil berkata, dia tidak dapat mengesahkan apa sebenarnya objek berkenaan walaupun jarak tapak binaan dengan Menara KL hanya sejauh satu kilometer.
Ikuti berita selanjutnya di Kosmo! hari ini.
Oleh KUMARA SABAPATTY

Sunday, January 16, 2011

Raja Rimba bertarung dengan Sang Bedal




Babak pertarungan tiga ekor singa dengan seekor buaya di Botswana.

GABORONE – Satu pertarungan ganas ‘Raja Rimba’ melawan ‘Sang Bedal’ dirakam oleh seorang lelaki, Tony Goldman ketika melawat kawasan safari di Botswana, dia Afrika bersama anak lelakinya, lapor sebuah akhbar semalam.

Pertarungan rimba itu tercetus apabila seekor buaya cuba membaham anak singa tetapi ia diterkam, dicakar dan digigit tiga ekor singa betina yang berada berhampirannya baru-baru ini.

“Buaya itu sempat menggigit seekor singa betina tetapi pemangsa tersebut mati dibaham kawanan singa betina berkenaan dalam pertarungan yang berlangsung sekitar 15 minit,” kata Goldman. – Agensi

Kosmo 16/1/11


Thursday, January 13, 2011

Tokek digilai pemburu haram


KUALA LUMPUR – Tokek atau gikgo. Apakah sebenarnya keistimewaan haiwan ini sehingga ramai pemburu mahu memiliki haiwan tersebut. Tanpa disedari ramai pemburu haram kini sanggup meredah hutan di Semenanjung bagi mencari tokek.

Tokek didakwa mampu dijual pada harga mencecah puluhan juta ringgit dan paling kurang RM20,000 bagi setiap seekor.

Ekoran kegilaan dengan harga lumayan itu, pemburu haiwan kini mula memberi tumpuan mencari haiwan tersebut di serata hutan.

Dikatakan sebelum nama tokek meniti mulut ke mulut dalam kalangan rakyat negara ini, haiwan itu terlebih sudah popular di Indonesia.

Bayangkan, tokek pernah menjadi produk perniagaan bagi penduduk yang tinggal di kawasan perkampungan miskin pedalaman Indonesia seperti di Banjarsawah.

Mereka sanggup meredah hutan dan menangkap haiwan itu.

Tokek didakwa mula menarik perhatian apabila ramai ahli perubatan China dan Korea percaya lendir daripada haiwan itu mampu merawat kanser, penyakit kulit serta pernafasan.

Ikuti berita selanjutnya di Kosmo! hari ini.

Oleh MOHD. ZAINI SAMSU HADI
zaini.hadi@kosmo.com.my


Tuesday, January 4, 2011

Pengasas Facebook makin kaya

NEW YORK - Pengasas laman sosial Facebook, Mark Zuckerberg yang berusia 26 tahun semakin kaya ekoran pelaburan baru yang dibuat oleh dua pelabur baru, lapor sebuah akhbar semalam.
Ekoran pelaburan baru itu, nilai kekayaan Zuckerberg kini hampir AS$14 bilion (RM42.92 bilion).
Firma Goldman Sachs membuat pelaburan sebanyak AS$450 juta (RM1.37 bilion) dan syarikat Digital Sky Technologies membuat pelaburan AS$50 juta (RM153.30 juta).
Pelaburan dalam bentuk wang tunai itu membolehkan Facebook mengupah pekerja baru selain mengekalkan pekerja sedia ada.
Ia juga menyebabkan nilai Facebook meningkat kepada AS$50 bilion (RM153 bilion).
Zuckerberg yang memiliki suku saham dalam laman itu dan bilionair termuda di dunia akan meningkatkan kekayaannya kerana sebelum ini majalah Forbes membuat anggaran kekayaannya berjumlah AS$6.9 bilion (RM21.15 bilion) semasa Facebook bernilai AS23 bilion (RM70.51 bilion). - Agensi

KOSMO 4/1/11

Saturday, January 1, 2011

Man Collects Dangerous Hornet's Nests!





Sambutan hebat untuk wira negara


MOHD. SAFEE (kiri) dan Amar Rohidan menunjukkan Piala Suzuki AFF 2010 di dalam bas kepada peminat di KLIA, Sepang semalam.


SEPANG - Suasana di balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini umpama pesta petang semalam apabila lebih 3,000 peminat menyambut ketibaan skuad bola sepak Malaysia yang membawa pulang Piala Suzuki AFF 2010.

Mereka sudah berkumpul di situ sejak pukul 2 petang dan tidak berganjak walaupun menyedari jadual ketibaan pesawat Penerbangan Malaysia MH710 yang membawa pulang skuad negara ditunda sejam.

Nyanyian dan laungan kata-kata semangat 'Malaysia Boleh' bergemuruh di kawasan itu sehingga menarik perhatian ramai pelancong asing yang tidak melepaskan peluang bergambar bersama para penyokong Malaysia.

Biarpun jumlah yang hadir ramai, para peminat yang kebanyakannya ahli kelab 'Ultras Malaya' tetap berhimpun dengan aman dan memudahkan tugas kira-kira 50 anggota pasukan keselamatan yang membuat kawalan di situ.

Selepas hampir dua jam menunggu, mereka akhirnya bersorak melihat kemunculan skuad negara bersama jurulatih, K. Rajagobal yang berjalan keluar dari balai ketibaan KLIA.


Search This Blog