MACAM MACAM ADA

Monday, January 24, 2011

Malaysia cantik tapi kotor

LABIS: Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen, berkata majoriti pelancong asing ke negara ini mengakui Malaysia sebuah negara yang cantik, namun mempunyai masalah dari segi kebersihan.

Beliau berkata, antara aspek kebersihan yang sering dibangkitkan pelawat membabitkan gerai makan, longkang dan tandas.
Bercakap kepada pemberita di sini, Yen Yen berkata aspek kebersihan itu akan kekal menjadi masalah jika rakyat negara ini tidak menjadikannya amalan kehidupan.
“Kementerian Pelancongan mengambil kira aduan yang ditimbulkan pelancong. Jadi, kita perlu mengambil kira aspek kebersihan ini,” katanya selepas melancarkan program ‘1Malaysia Green, 1Malaysia Clean’ peringkat daerah Segamat di Pusat Rekreasi Kolam Air Panas, semalam.

Mengenai pusat rekreasi itu, Yen Yen berkata, kajian untuk menambah baik kawasan berkenaan akan dilakukan bagi menarik perhatian pengunjung, terutama rakyat Singapura.

“Sebanyak RM2 juta diperuntukkan menerusi Rancangan Malaysia Kesembilan bagi menaik taraf kolam ini. Antara perkara yang akan dikaji adalah caj bayaran masuk dikenakan kepada pengunjung tempatan dan luar. Saya juga ada menerima cadangan supaya air panas di kolam ini dapat dialirkan," katanya.

Mengulas mengenai pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, Yen Yen yang juga Naib Presiden MCA berkata, parti itu akan menggunakan semangat ketika berkempen pada pilihan raya kecil DUN Galas bagi memastikan kemenangan Barisan Nasional.
"Kita akan menggerakkan semua jentera yang ada sepanjang tempoh berkempen. Kita gunakan semangat `Galas’," katanya.

Berdasarkan kunjungannya ke kawasan DUN Tenang semalam, beliau yakin pengundi kawasan itu tidak mudah terpedaya dengan isu negatif yang ditimbulkan pembangkang termasuk berkaitan kenaikan harga barangan.

“Kalau mengenai harga naik, itu adalah masalah global," katanya. – BERNAMA


dipetik dari Berita Harian Online 24/1/11

No comments:

Search This Blog