








KUALA LUMPUR – Para pembeli pelbagai barangan secara dalam talian melalui Internet di negara ini mengalami kerugian di antara RM200,000 hingga RM300,000 setiap bulan gara-gara tertipu dengan sindiket perniagaan yang sebenarnya tidak wujud.
Presiden Persatuan Pembekal Kandungan Mudah Alih, Azli Paat yang mendedahkan perkara itu berkata, jumlah tersebut berdasarkan lima hingga 10 peratus daripada keseluruhan transaksi urus niaga yang dibuat menerusi pelbagai kaedah pembayaran seperti kad kredit, perbankan Internet atau bayaran secara bersemuka bernilai RM2.5 juta hingga RM3 juta setiap bulan.
Setiap hari, rakyat di negara ini berbelanja kira-kira RM100,000 untuk membeli pelbagai produk secara dalam talian di Internet.
Katanya, terdapat empat proses penting ketika pembelian dalam talian iaitu carian Internet, pengesahan atau perjanjian pembelian, penghantaran dan pembayaran.
“Malangnya penipuan sering berlaku apabila proses ini tidak diikuti. Kaedah yang salah ialah pembayaran dahulu baru penghantaran menyebabkan barang tidak sampai kepada pembeli,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
22/11/10
GUNUNG MERAPI, Pulau Jawa - Jumlah kematian akibat letusan Gunung Merapi melepasi angka 240 semalam apabila anggota-anggota penyelamat menemui lebih banyak mayat dari sebuah kampung yang diliputi debu.
Menurut seorang ahli vulkanologi kanan, Sukhyar, setakat ini gunung itu telah menyebabkan 242 orang terbunuh dalam satu siri letusan yang bermula lebih dua minggu lalu.
"Kekuatan Gunung Merapi semakin berkurangan sejak 8 November lalu berbanding dengan hari-hari sebelumnya. Kami cuma mengesan satu atau dua awan panas," katanya kepada pemberita di Yogyakarta.
Gunung itu meletus buat pertama kali pada 26 Oktober lalu.
Menurutnya, kampung-kampung di sekitar gunung itu masih dikategorikan berada dalam keadaan berjaga-jaga tetapi pemerintah mengurangkan jarak zon bahaya kepada 10 kilometer di daerah Boyolali dan Klaten serta sejauh 15 kilometer di daerah Magelang.
"Kami mengekalkan zon bahaya ketika ini iaitu 20 kilometer untuk daerah Sleman kerana awan panas masih bergerak dari arah itu," katanya.
Kira-kira 400,000 penduduk telah melarikan diri sejak gunung itu meletus.
Kebanyakan mayat diliputi dengan debu panas dan batu yang dihambur keluar dari Gunung Merapi pada 5 November lalu. - Agensi
MALAYSIA tewas 0-3 kepada China pada perlawanan penuh kontroversi dalam saingan Kumpulan A temasya Sukan Asia 2010 di Stadium Tianhe, Guangzhou malam tadi.
Ini kerana pengadil dari Australia, Ben Williams telah melayangkan tiga kad merah kepada Mahali Jasuli, Safiq Rahim dan S. Kunanlan.
Selain itu, lima pemain lain iaitu Fadhli Shas, Norshahrul Idlan Talaha, Amar Rohidan, Asraruddin Putra Omar dan Muslim Ahmad turut dilayangkan kad kuning berbanding pemain China yang langsung tidak diberi sebarang kad.
Jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal jelas begitu berang dengan keputusan 'berat sebelah' pengadil yang sama sekali telah meranapkan hasrat Malaysia sekurang-kurangnya mencatat keputusan seri dengan China.
"Ini pertama kali dalam sejarah saya melihat pengadil seteruk ini. Ini juga pertama kali saya bertindak untuk memberi komen terhadap pengadil.
"Saya cukup kecewa. Jika satu kad merah tidak mengapa. Ini kami terpaksa main sembilan pemain sepanjang 55 minit dan lapan pemain pada 10 minit terakhir," kata Rajagobal pada sidang media selepas perlawanan semalam.
Pada minit ke-24, Mahali dilayangkan kad merah setelah didakwa sengaja menyepak bola ke luar padang manakala Safiq turut menerima nasib sama kerana dikatakan cuba membantah keputusan pengadil.
Kunanlan pula menerima kad kuning pertama pada minit ke-79 dan kad kuning kedua seterusnya kad merah seminit kemudian kerana memberikan sepakan penalti.
"Semua pemain telah berkerja keras biarpun terpaksa lawan 11 pemain. Cuma sukar untuk terus bertahan pada baki 45 minit dengan kekurangan pemain," jelasnya.
Gol pertama China dijaringkan Li Jianbin menerusi tandukan selepas sepakan percuma pada minit ke-61 diikuti gol kedua hasil sepakan percuma Zhao Honglue pada minit ke-64 sebelum Zhang Linpeng menyudahkan sepakan penalti pada minit ke-82.
Sementara itu, Safiq yang merupakan ketua pasukan negara memberitahu: "Saya hanya tanya pengadil kenapa Mahali dilayangkan kad merah. Kemudian saya diberi kad kuning.
"Apabila saya tanya pula kenapa saya kena kad kuning, pengadil terus keluarkan pula kad merah," katanya.
Malaysia bagaimanapun tetap berjaya layak ke pusingan kedua selaku empat pasukan tempat ketiga terbaik dan akan bertemu juara Kumpulan B, Iran petang esok.